Thursday, February 07, 2008

Prime Minister's Chinese New Year's Message

Chinese New Year Address by Prime Minister, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)

Quoted directly from Prime Minister's Office's Website

-----
AMANAT
YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
TAHUN BARU CINA 2008


Tahun 2008 merupakan tahun yang amat bermakna kerana ia merupakan tahun pertama selepas kita meraikan ulang tahun kemerdekaan Negara yang ke-50 pada tahun lalu. Kita sesungguhnya amat berbangga kerana dalam tempoh hanya 50 tahun, Malaysia telah melangkah jauh, mencipta begitu banyak kejayaan.

Walaupun kita sewajarnya berbangga dengan segala kejayaan dan pencapaian cemerlang selama ini, kita tidak harus berpuas hati apatah lagi leka untuk terus melipatgandakan usaha dalam menempuh hari-hari seterusnya. Hakikatnya, cabaran dan persaingan dunia hari ini begitu kompetitif. Untuk terus melangkah maju ke hadapan, kita perlu cukup segala prasyaratnya agar terus mempunyai daya saing dan daya tahan yang tinggi. Kita perlu terus mempersiapkan dan memperkasakan diri dengan segala elemen yang perlu agar segala cabaran dan halangan dapat kita hadapi dengan tabah dan dengan jayanya.

Kerajaan telah menyediakan pelbagai asas yang perlu bagi menghadapi cabaran-cabaran ini, bukan untuk tempoh masa yang singkat malahan melangkau satu jangka masa yang panjang. Koridor-koridor wilayah ekonomi bersama dengan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, akan membawa Malaysia ke arah pembangunan yang baru; yang lebih pesat, seimbang, dan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk, baik di bandar mahu pun di luar bandar. Berpandukan kepada lima teras Misi Nasional, saya percaya bahawa kita berada di atas landasan yang betul untuk mengorak langkah ke takuk pembangunan yang lebih gemilang.

Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur kerana dapat meraikan pelbagai hari kebesaran dan perayaan masyarakat yang berbilang kaum dan agama, bersama-sama dalam suasana meriah dan harmoni. Sememangnya kita amat bertuah. Apatah lagi, jika kita lihat keadaan sekeliling, tidak banyak Negara dengan rakyat berbilang kaum seumpama kita, yang mampu mengacapi apa yang kita nikmati. Namun kita harus insaf bahawa kestabilan yang wujud dalam Negara ini tidak datang dengan mudah, bukan tanpa usaha dan pengorbanan. Kita harus insaf bahawa ianya berjaya kita kecapi hasil daripada perpaduan dan kebersatuan yang kita pupuk buat sekian lama. Justeru, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus memupuk dan memelihara sikap bermuafakat, bertolak-ansur, bersatu padu dan saling menghargai antara satu sama lain kerana semua ini adalah kunci keamanan dan kemakmuran kita. Sesungguhnya Malaysia ini bukan milik mana-mana individu atau kaum, tetapi adalah milik kita bersama, setiap rakyat Malaysia.

Sebagai Perdana Menteri, saya komited dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang dinamik, maju, hidup secara aman dan harmoni, berkeyakinan dan berdaya saing, serta berpegang teguh kepada tradisi kebudayaan bersama. Saya akan terus melipatgandakan usaha agar kita dapat terus melangkah gagah dan perkasa serta disegani dunia dalam segenap perkara. Namun saya juga yakin, dengan semangat bersatu dan bersama yang dipegang selama ini, kita pasti boleh membawa Malaysia ke mercu yang lebih terbilang.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri
Perdana Putra
PUTRAJAYA

6 Februari 2008


-----
Click here to read more of Chen Chow's posts

1 comment:

lXl said...

Happy Chinese New Year !
May the year of the rat bring you much happiness and prosperity !